KUALA LUMPUR: Tidak lagi mahu melihat diri terpalit isu panas yang hampir mengorbankan kerjaya lakonannya, Tasha Shilla kini nekad membuka lembaran baharu dalam kehidupan.
Hampir sedekad mengorak langkah dalam dunia hiburan, Tasha, 31, semakin serius menetapkan hala tujunya sebagai anak seni dan sedaya mungkin enggan lagi namanya dikaitkan dengan kontroversi.
"Saya bukan muda lagi untuk terus berdepan dengan kontroversi. Saya juga tidak perlu mencari publisiti murahan hanya kerana mahukan perhatian.
"Apa yang penting ketika ini, saya perlu membuktikan diri masih relevan dengan memperbaiki kualiti lakonan," katanya.
Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Ratu The Movie itu bersyukur, sepanjang tahun lalu, dia bebas daripada cerita sensasi dan tidak lagi menjadi tumpuan gara-gara isu panas.
Katanya, dia juga semakin berhati-hati sebelum memberikan kenyataan kerana tidak mahu disalahertikan.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiTKct946duV0tY79iViku2x_UciBcv5rZ3wn1nLE_TUfTqjtLrb3A3nfCZ4OC_TgOvuBDyRg6HeN6mZEbU1tt9ZyGv8In_kXYzWlZ2zQiGdlOgITqUT28Pq4yhx7yAosPQlXQhWqu1Zns8/s320/Screenshot_108.png)
"Saya juga tidak lagi mahu terlalu terbuka bercerita mengenai hal peribadi. Saya risau ia akan disalah erti dan akhirnya, saya yang terpaksa menanggung kesannya. Bukan tidak berminat dengan publisiti, cuma saya kurang selesa apabila kisah lalu terus diungkit," katanya.
Pelakon yang pernah diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu berkata, dia kini masih aktif menerima tawaran berlakon.
"Mungkin saya jarang memenuhi undangan fotografi bersama media, tetapi saya pernah tidak bersara daripada lakonan. Saya juga semakin selektif dalam menerima tawaran bagi memastikan kemunculan menerusi drama atau filem membekas di hati ramai.
"Sebagai pelakon, saya tidak mahu selamanya berada pada takuk sama. Saya ingin menjadi pelakon serba boleh. Saya juga tidak kisah diberikan watak baik atau antagonis, asalkan ia menguji kemampuan," katanya.
Tasha bakal muncul dengan drama rantaian 30 episod, Air Mata Syurga, terbitan Darkwave Pictures Sdn Bhd yang dijangka menemui penonton Mei depan.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/02/392990/tasha-shilla-tak-mahu-kontroversi-lagi