Ikan malang bawa tuah


MUKAH: Seorang nelayan dari Kampung Badong, Daro di sini, meraih rezeki tidak dijangka semalam apabila mendaratkan seekor ikan malang gergasi seberat 51 kilogram (kg) yang kemudian berjaya dijual pada harga kira-kira RM1,000.

Raimi Razali, 35, mengaku kali pertama menangkap ikan sebesar itu sepanjang 14 tahun menjadi nelayan.

Menceritakan pengalaman itu, katanya, beliau bersama adik ipar, Johari Semawi, 35, dan bapa mentua, Rapli Paee, 50, bertolak jam 4 pagi semalam untuk rutin di Sungai Lassa.

"Ketika itu, keadaan arus sungai cukup tenang. Selepas tiga jam. kami mula menaikkan jaring tetapi terasa agak berat berbanding kebiasaan, malah turut disentap kuat ketika ditarik ke dalam perahu.

"Pada mulanya, disangkakan ikan jerung tersangkut kerana warna sirip belakang keputih-putihan.

"Adik ipar dan bapa mentua turut membantu menarik jaring. Selepas berhempas-pulas selama 15 minit, kami berjaya mendaratkan ikan itu. Ternyata ia adalah ikan malang yang membawa tuah dan rezeki," katanya ketika dihubungi di sini.

Raimi berkata, ikan terbabit kemudian dijual pada harga kira-kira RM1,000 kepada peraih di Pekan Daro.

Katanya, sebahagian rezeki berkenaan diguna untuk menunaikan janji kepada anak bongsu, Qaseh Qahrina, 4, yang sebelum itu berpesan dibelikan barangan keperluan sekolah jika berhasil menangkap ikan besar.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/02/393961/ikan-malang-bawa-tuah#cxrecs_s
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==