Azraai rangka strategi 'rantai' Kedah



SEREMBAN: Tempoh singkat bagi mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Kedah, di Stadium Darul Aman Alor Setar, Jumaat ini tidak akan memberi tekanan buat ketua jurulatih baru Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Sebaliknya bekas jurulatih kebangsaan itu yakin dapat merangka strategi terbaik dalam memastikan skuad Hobin Jang Hobin mampu memberikan saingan dan seterusnya melakar kemenangan ke atas Kedah.

Pengendali berusia 65 tahun itu berkata, beliau sudah melihat persembahan Negeri Sembilan ketika menentang Terengganu FC (TFC) di Paroi, Jumaat lalu dan yakin dengan prestasi serta kemampuan pemain.

"Walaupun terpaksa menyediakan pasukan bagi menghadapi Kedah dalam tempoh singkat tetapi ia bukan suatu tugas yang terlalu sukar kerana rata-rata pemain Kedah amat saya kenali, malah corak serta persembahan mereka juga dalam pengetahuan saya.

"Saya juga sudah membuat analisa dan statistik permainan pasukan lawan dan seterusnya akan berbincang dengan Mohd Asri Ninggal (penolong jurulatih) petang ini bagi merangka strategi terbaik.

"Saya yakin kita akan dapat melihat aksi pemain Negeri Sembilan yang lebih memberangsangkan di Stadium Darul Aman, Jumaat ini," katanya selepas majlis menandatangani kontrak jurulatih baru dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di Wisma Negeri, hari ini.

Mohd Azraai yang pernah membawa Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 2011 dilantik menggalas tugas mencabar itu bagi menggantikan ketua jurulatih dari Jerman, Jorg Steinebrunner yang meletakkan jawatan.

Pelantikannya berkuat kuasa esok (1 Mac) sehingga November tahun ini dan PBNS mengharapkan beliau mampu mencipta kebangkitan selepas Negeri Sembilan mengalami tiga kekalahan daripada empat perlawanan Liga Super setakat ini.

Bagi bekas pemain kebangsaan itu, walaupun harapan yang diletakkan PBNS terutama Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadapnya begitu tinggi, tetapi beliau yakin akan dapat melaksanakannya dengan baik.

"Terima kasih kepada PBNS terutama Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan pasukan. Walaupun tugas ini bukan mudah, tapi saya yakin mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

"Saya lihat pasukan Negeri Sembilan yang membariskan ramai pemain berpengalaman memiliki kekuatan tersendiri dan apa yang penting fokus harus diberikan kepada usaha membina sikap dan formasi permainan yang terbaik.

"Untuk itu, saya akan lakukan beberapa perubahan dari segi struktur pemain untuk membentuk satu gandingan mantap di setiap posisi dalam pasukan. Matlamat saya adalah untuk meletakkan kembali pasukan ini di landasan terbaik pada saingan Liga Super dan seterusnya merealisasikan sasaran ditetapkan musim ini," katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/02/394128/azraai-rangka-strategi-rantai-kedah
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==