SHAH ALAM: Aktor, Farid Kamil, mendakwa dua individu yang tampil memberi keterangan berhubung dakwaan dirinya memasukkan dadah ke dalam tubuh, bukanlah dua lelaki yang dilaporkannya kepada polis.
Pada sidang media diadakan di sini petang ini, pelakon itu menunjukkan foto dua lelaki yang didakwa individu sebenar seperti dalam laporannya kepada pihak berkuasa.
"Kedua-dua individu yang saya gambarkan sebelum ini bercanggah dengan dua artis yang baru-baru ini tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan polis," katanya.
Bercerita lanjut mengenai identiti dua individu sebenar dimaksudkan, Farid berkata, mereka memperkenalkan diri sebagai Osh dan Taj dalam pertemuan yang tidak dirancang.
"Saya agak kecewa apabila ternampak di akhbar orang yang tampil memberikan keterangan bukanlah seperti maklumat yang saya berikan," katanya yang turut mendakwa tidak ada prosedur kawad cam dibuat bagi mengesahkan identiti pihak terbabit.
Dalam perkembangan lain, Farid turut membuat laporan polis berkenaan kecederaan dialami beliau pada bahagian dahi ketika berada dalam tahanan selama enam hari.
"Saya mula sedar mengalami pendarahan di kepala selepas disarungkan baju berwarna putih sambil dikelilingi oleh 11 individu tidak dikenali," katanya.
Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga individu memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong beliau bertindak ganas di sebuah balai polis, bulan lalu.
Pada 11 Februari lalu, seorang pengarah dan penerbit sebuah syarikat pengiklanan yang beribu pejabat di Johor Bahru, dilaporkan tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan Farid, yang minumannya dimasukkan dadah.
Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata individu terbabit disahkan sebagai Ahmad Fairuz Ahmad Rusli, 47, atau Osh, yang juga bekas penyanyi kumpulan nasyid, seorang daripada dua individu yang dicari berhubung perkara itu.
Manakala Metro Online melaporkan pada minggu lalu, bekas anggota kumpulan Innuendo, Taj atau nama sebenarnya Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir disahkan negatif dadah.
Keputusan itu diperoleh pada 20 Februari lalu selepas Taj dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, berhubung dakwaan Farid ada pihak memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya.
Taj dilaporkan bersyukur proses siasatan selama dua jam berjalan baik dengan ditemani dua peguamnya, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja dan Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/02/394139/bukan-mereka-saya-maksudkan-farid