KUALA LUMPUR: 'Bila tak muncul sekejap, orang fikir kita tak laku'.
Itulah yang bermain dalam fikiran pelakon, Dazrin Kamarudin apabila mendakwa ramai peminat menyangka dirinya sudah tidak lagi menjadi pilihan penerbit apabila wajahnya jarang muncul di kaca televisyen (TV).
Jejaka berusia 30 tahun itu memberitahu, dia 'hilang' bukan kerana tidak laris, sebaliknya sibuk mengusahakan perniagaan dan menjaga isterinya, Nur Fazulin Razali yang hamil lapan bulan.
"Saya masih aktif berlakon cuma berehat sebentar untuk memberi tumpuan kepada isteri yang sedang sarat dan perniagaan.
"Bila tidak muncul di TV biarpun sekejap, orang fikir kita tidak lagi laku. Sedangkan masih ada lagi drama dan telefilem saya belum ditayangkan," katanya kepada BH Online.
Dazrin berkata, sebagai suami, tidak wajar dia meninggalkan isteri menguruskan keperluan rumah dan keluarga ketika sarat mengandung.
"Saya tidak boleh tinggalkan isteri sendirian terlalu lama apatah lagi jadual penggambaran selalunya panjang.
"Jadi, lebih baik masa yang ada sekarang saya tumpukan kepada isteri dan perniagaan," katanya yang mengusahakan Syarikat DK Collection, sejak tiga bulan lalu.
Akui Dazrin, dia lebih suka menerima watak sampingan atau ringan bagi memudahkan dirinya menguruskan perniagaan dan keperluan rumah tangga.
Tidak kisah andai diri tidak lagi popular, Dazrin lebih selesa menjadi pelakon biasa yang membolehkan dirinya menerima apa saja watak.
"Waktu penggambaran agak lama dan kadang-kala sampai lewat pagi. Jadi, buat masa sekarang, biarlah saya terima watak kecil sebab itu memudahkan saya untuk memberi tumpuan kepada pembesaran anak.
"Isteri sedang sarat dan selepas bersalin, dia perlu berpantang. Jadi tumpuan lebih baik diberikan kepadanya," katanya yang menganjurkan majlis meraikan anak lelaki yang bakal dilahirkan di Puchong, semalam.
Berkongsi perkembangan terbaharu, pelakon drama Cinta Pandang Kedua ini sibuk menjadi penceramah motivasi untuk pelajar universiti.
"Sebenarnya, ramai tidak tahu saya ada dua ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa dan media. Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat (AS) pada 2011, saya ditawar menjadi penceramah untuk penuntut universiti.
"Sekarang, saya dilantik Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan untuk menjadi penceramah bagi mendidik belia di negeri itu menjadi usahawan.
"Saya mahu mereka tahu bahawa tidak semua orang seni menjadi pelakon atau penyanyi. Sebaliknya, ada yang menceburi bidang perniagaan," katanya.
Masih aktif menyanyi selepas muncul dengan single duet berjudul No Champion bersama kumpulan antarabangsa Vessbroz, Dazrin sedang mencari penyanyi wanita baharu untuk diketengahkan.
Dazrin juga merancang menerbitkan sebuah supertelefilem seram yang akan disiarkan di sebuah stesen TV berbayar.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/02/393250/sibuk-berniaga-bukan-tak-laku-dazrin