Kereta warga emas rempuh kaunter hospital


KUALA KANGSAR: Sebuah kereta dipandu warga emas merempuh kaunter saringan penyakit Jabatan Pesakit Luar, Hospital Kuala Kangsar di sini, malam tadi sehingga mengakibatkan kerosakan serius pada kaunter itu.

Dalam kejadian jam 8 malam, warga emas itu dikatakan secara tidak sengaja terundur kereta jenis PROTON Exora yang diparkir bersebelahan kaunter berkenaan.

Difahamkan, warga emas itu baru selesai menerima rawatan di Jabatan Trauma dan Kecemasan (JTK) dan mahu mengalihkan kenderaannya yang diletakkan dalam petak parkir orang kurang upaya (OKU) di situ.

Bagaimanapun ketika kejadian, kaunter berkenaan tutup kerana hari minggu dan difahamkan tiada kakitangan hospital atau pesakit lain cedera dalam insiden itu.

Pengawal keselamatan bertugas, Abdul Hamid Ali, 60, berkata warga emas terbabit juga tidak mengalami kecederaan tetapi kelihatan trauma sejurus kejadian.

Katanya, sebelum itu, beliau sempat memimpin tangan lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 70-an berkenaan dari JTK ke kereta berikutan keadaannya kelihatan agak uzur, selain dipercayai datang ke hospital sendirian.

"Saya rasa beliau mungkin tersilap tekan pedal minyak yang disangkakan brek kerana rempuhan berlaku sekelip mata sehingga mengakibatkan kerosakan serius pada dinding kaunter diperbuat daripada gentian aluminium dan kaca itu.

"Kereta terbabit juga didapati memasuki separuh daripada bahagian kaunter itu yang lantainya lebih tinggi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, dentuman rempuhan begitu kuat menyebabkan kakitangan hospital dan mereka yang berada di JTK, keluar memastikan kejadian sebenar.


Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/392977/kereta-warga-emas-rempuh-kaunter-hospital
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==