KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, suami penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tidak merancang memberi hak eksklusif kepada mana-mana pihak dalam menyiarkan berita dan foto cahaya mata mereka yang bakal dilahirkan, dalam masa terdekat.
Khalid, 59 atau lebih dikenali dengan panggilan DK memberitahu, sebagai selebriti, berita gembira mengenai Siti wajar dikongsi kepada semua pihak yang selama ini banyak menyokong kerjaya seni isteri kesayangannya itu.
"Memang tiada perbincangan dengan mana-mana pihak untuk memberi hak eksklusif. Kami juga tidak akan menyembunyikan wajah anak kepada umum.
"Siti seorang selebriti, saya tahu ramai yang ingin tahu apa saja mengenainya lebih-lebih lagi soal anak. Mungkin akan ada akaun Instagram untuk anak kami nanti... Tengoklah nanti, macam mana situasinya.
"Mengikut perancangan, pada hari ketujuh kelahiran nanti, kami mahu mengadakan majlis maulid. Pada waktu itulah kami umumkan nama bayi," katanya ketika dihubungi BH Online.
Ditanya perasaannya ketika ini, tokoh korporat ini mengaku teruja dan berdebar menantikan kehadiran orang baharu dalam hidup mereka.
"Daripada segi persiapan, saya banyak membantu Siti. Memang rasa teruja sangat tetapi pada masa berdebar.
"Harap semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan Siti dan anak kami yang bakal dilahirkan nanti," katanya.
Sebelum ini, BH Online melaporkan penyanyi Comel Pipi Merah ini bakal melahirkan bayi secara pembedahan. Khalid dan Siti mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/03/400823/tiba-masanya-kami-kongsi-dengan-semua