KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza melalui pengalaman pertama sebagai ibu apabila menyusukan bayinya selepas beberapa jam dilahirkan.
Walaupun lemah kerana bersalin melalui kaedah pembedahan, namun, Siti, 39, teruja melaksanakan tanggungjawabnya itu.
Detik manis itu diceritakan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59 yang menemani isteri kesayangannya dari mula penyanyi itu masuk ke dewan bedah sehinggalah melahirkan bayi mereka.
"Alhamdulillah, keadaan Siti dan bayi stabil. Siti baru saja menyusukan bayi.
"Seronok tengok bayi menyusu dengan mudah. Bayi pun tak banyak ragam berada berdekatan dengan ibunya," ujar Khalid kepada BH Online.
Dalam pertemuan yang berlangsung di sebuah pusat perubatan di ibu negara itu, tokoh korporat berkenaan turut berkongsi keterujaan dengan menunjukkan foto dan video bayinya itu.
Penyanyi Segala Perasaan itu selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di sini, pada jam 8.17 pagi.
Bayi seberat 3.55 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/03/401178/siti-stabil-mula-susukan-bayi