KUALA LUMPUR: Pelakon, Hanez Suraya, menepis andaian rumah tangga bersama Romie Razin Adilha Abd Rais yang dibina sejak 2015 berdepan masalah apabila dirinya dilihat aktif menjalankan perniagaan, termasuk menjual sambal bilis hasil tangan ibu sendiri.
Apatah lagi baru-baru ini beliau pergi bercuti bersama teman baik, tanpa ditemani suami. Ia bagai mengukuhkan tanggapan sesetengah pihak kononnya mahligai mereka dilanda masalah, selain dirinya berdepan gangguan kebimbangan (anxiety disorder) sejak beberapa tahun lalu.
"Semua itu hanya andaian sesetengah orang. Bagi saya, mereka memang boleh terus berteka-teki dan mulut masing-masing tentu saja bukan mudah untuk ditutup.
"Dakwaan kononnya rumah tangga kami goyah tidak betul. Malah, pada 14 Mac lalu, saya dan suami menyambut ulang tahun ketiga perkahwinan kami.
"Sebelum ini pun saya ada menjalankan perniagaan tudung dan koleksi pakaian sedia untuk pakai. Ketika itu, tiada pula isu saya berniaga sebab rumah tangga berantakan," kata Hanez kepada BH Online.
Bagi Hanez, sekalipun sudah mempunyai anak dan suami, keluarga sendiri tidak boleh dilupakan begitu saja.
"Sebagai wanita, saya rasa kita perlu ada pendapatan sendiri. Ia memudahkan kita untuk mendapatkan apa yang diingini. Sebelum berkahwin lagi saya sudah terbiasa dengan berbelanja duit sendiri, hasil aktiviti lakonan.
"Lagipun, saya ada tanggungan sendiri seperti cukai pendapatan, kereta dan sebagainya. Saya juga ada ibu bapa yang nak ditanggung, selain keperluan diri.
"Semua itu membuatkan saya bersemangat untuk mencari rezeki. Sebagai anak sulung, saya masih ada tanggungjawab terhadap keluarga. Walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri, tidak bermakna jasa ibu bapa boleh dilupa. Sebaliknya, inilah masa untuk saya balas jasa mereka," katanya.
Sementara itu, Hanez memberitahu, usaha untuk menjalankan perniagaan sambal bilis masakan ibunya, Fadilah Abd Malik, 57, adalah secara kebetulan.
"Selalunya kalau pergi bercuti atau mengembara, memang Mama akan buat bekal sambal ikan bilis sebagai bekalan. Ia juga sering dijadikan bekalan simpanan di rumah. Ia resipi turun temurun Mama dan memang menyelerakan.
"Jadi, saya terfikir mengapa tidak dipromosikan sambal berkenaan di Instagram? Mana tahu ia boleh menjana pendapatan sampingan? Tak sangka pula selepas itu ada yang terliur dan mahu mencuba. Bagi fasa pertama jualannya, ia memang menggalakkan," katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/03/401663/dakwaan-rumah-tangga-goyah-tak-betul