Saya sudah putus asa - Elfira Loy


KUALA LUMPUR: Lebih suka untuk berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang ulasan berhubung kes putus tunang dengan penyanyi, Sufian Suhaimi, Elfira Loy hari ini bagai meluahkan rasa hati di laman sosial.

Jika ada pun ulasan pelakon wanita terbabit berkaitan isu itu sebelum ini, ia boleh dibilang dengan jari, termasuk ketika ditemui wartawan pada Festival GegaRia di Kuantan, Pahang, 24 Februari lalu.

"Saya sudah putus asa. Saya tidak mahu lagi mengawal dan menjadikan semua perkara baik-baik.

"Jika kamu fikir (untuk) berbuat sebegitu, maka teruskan. Tidak mengapa. Saya ada kepercayaan penuh kepada Allah," tulis Elfira di laman Instagram beliau, beberapa jam lalu.

Biarpun luahannya itu agak kabur, namun ia dipercayai ada kena-mengena dengan isu hangat berkenaan, apatah lagi apabila cerita putus tunang antara dirinya dan Sufian terus diperkatakan pelbagai pihak.

Bukan sekadar menjadi perhatian ramai, malah sebahagian netizen dikatakan tampil dengan cerita atau andaian mereka sendiri terhadap apa yang terjadi.

Berbeza dengan Elfira, bekas tunangnya, Sufian, dilihat lebih terbuka mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu. Malah, ada yang menuduh penyanyi lelaki itu sengaja 'menjaja' cerita sensasi terbabit bagi memperkenalkan single terbarunya, Di Matamu.

Sufian bagaimanapun tangkas menafikan dakwaan liar berkenaan sambil menyatakan keengganannya untuk memanjangkan kontroversi itu.

Sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/gosip/2018/03/399461/saya-sudah-putus-asa-elfira-loy#cxrecs_s
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==